PROGRAM KHEMAH IBADAH 2015
LAPORAN
Panitia Pendidikan Islam dengan komitmen yang tinggi telah merencana program Khemah Ibadah untuk sesi 2015 bagi memastikan kefahaman Islam yang tulen dapat diterapkan kepada murid-murid, khususnya murid-murid tahun 6. Dengan matlamat yang jelas ini, keseluruhan jawatankuasa yang dilantik telah melaksanakan tugasan dengan komited dan bersungguh-sungguh.
Hari Pertama (3 April 2014 / Jumaat)
Keseluruhan murid mula mendaftar bermula jam 3.00 petang di Pusat Latihan Zakat bersama waris masing-masing. Guru yang bertugas adalah Pn. Hazama Abdul Razak dan Cik Nor Aishah Suhimi. Para pelajar telah menandatangani borang kehadiran dan disusun atur mengikut kumpulan masing-masing semasa mendaftar di kaunter pendaftaran. Setelah selesai mendaftar, kesemua peserta berkumpul di dalam Dewan Terbuka dan mendengar taklimat pelaksanaan program yang disampaikan oleh Ustazah Haslinda binti Omar dan taklimat peraturan perkhemahan yang disampaikan oleh Ustazah Hazama Abdul Razak.
Peserta dibahagikan kepada kumpulan LDK, kumpulan aktiviti, kumpulan makan dan kumpulan bilik. Peserta diperkenalkan dengan barisan fasilitator serta diberikan bilik penginapan.
Selepas minum petang dan solat asar peserta dilatih untuk menasyidkan lagu tema, membaca ayat tema dan zikir tema sepanjang program berlansung.
Peserta makan malam pada jam 6.45 petang. Seterusnya pengurusan diri dan solat Maghrib secara berjemaah. Kuliah Maghrib (pengisian jiwa 1) telah disampaikan oleh Ust . Zuwairi bin Zainal Abidin. Beliau telah menyampaikan kuliah mengenai keistimewaan orang yang menuntut ilmu. Tujuan tajuk ini disampaikan supaya para peserta mengetahui fadhilat-fadhilat dan keistimewaan yang dikurniakan Allah kepada mereka yang menuntut ilmu. Yang penting, peserta sedar, bahawa mereka adalah insan istimewa dan wajib menghargainya.
Selesai solat Isyak, semua peserta kembali berkumpul di Dewan Tertutup bagi mengikuti aktiviti “Aku dan Al Fateh” bermula jam 9.15 malam sehingga 11.15 malam. Para peserta telah diberikan kesedaran tentang kepentingan mempunyai matlamat dalam kehidupan dan pelajaran di samping memahami tanggungjawab diri terhadap pelajaran, ibu bapa, guru, bangsa dan agama.
Peserta dibenarkan tidur pada jam 11.40 minit malam. Sebelum itu, peserta membaca surah al Mulk secara berjemaah mengikut sunnah Rasulullah s.a.w dan minum malam segelas susu bercampur kurma dan badam.
Hari Kedua ( 4 April 2015/ Sabtu)
Para peserta bersama fasilitator bersiap sedia untuk qiamullail pada jam 4.30 pagi. Qiamullail telah diselia oleh Ust. Zuwairi Zainal Abidin dan para fasilitator. Murid-murid diajar untuk menunaikan solat sunat tahajjud, taubat, hajat dan witir secara berjemaah. Peserta juga dibawa keluar di kawasan lapang dan diminta menghirupm udara segar hadiah dari Allah yang Maha Pemurah untuk hambaNya. Mengambil iktibar terhadap ciptaan Allah dan bersyukur atas kurniaNya. Usai qiamullail, para peserta menunaikan solat Subuh bersama-sama. Kuliah Subuh disampaikan oleh Ust. Zuwairi.
Semua peserta telah beriadhah pada jam 7.00 pagi. Para peserta bersama fasilitator melakukan senamrobik Ar-Ruhul Jadid. Selesai beriadhah, para peserta bersarapan dan bersiap sedia untuk aktiviti LDK , Teori dan Amali Wudhuk, Membersihkan Najis, Solat Fardhu, Tayammum serta Mandi Wajib.
Peserta berhenti rehat jam 12.30 untuk makan tengahari , diberikan pengalaman melaksanakan “qailullah” , bersiap sedia untuk solat fardhu Zohor dan rehat seketika sehingga jam 2.30 petang.
Kembara Tullab bermula pada jam 2.30 petang. Semua peserta dibahagikan kepada 5 kumpulan besar dan mereka perlu melaksanakan cabaran di 5 chekpoint yang telah ditetapkan. Stesyen 1, cabaran Tepati Sasaran, di mana mereka diajar teori memanah dan diberi peluang memanah menepati sasaran sebanyak 6 kali cubaan. Stesyen 2, Siapa Berani, mendidik peserta supaya berani menghadapi segala cabaran dan rintangan . Mereka dikehendaki mengambil guli di dalam bekas yang bertutup dan dalam masa yang sama perlu berdepan dengan cabaran belut yang menjaga guli-guli tersebut. Stesyen 3, Peserta diminta mengerah daya kreativiti serta semangat berpasukan untuk mengeluarkan bola ping pong dari paip yang berlubang-lubang. Di stesyen 4. Peserta diuji kesabaran dan keupayaan menjaga amanah berbentuk sehelai tisu yang perlu dijaga agar tidak koyak walaupun peserta wajib melakukan pelbagai pergerakan dan formasi yang telah ditetapkan . Stesyen ke 5, merupakan stesyen yang menjadi pilihan peserta kerana di sini peserta didedahkan dengan aktiviti sembelihan. Peserta diberi pengalaman menyembelih ayam serta membersihkan ayam. Diperingatkan peri pentingnya makan makanan yang halal untuk hidup menurut syariat Islam.
Usai aktiviti kumpulan semua peserta dibenarkan membuat pengurusan diri dan makan malam sehingga jam 7.30 petang.
Peserta berkumpul di Dewan Terbuka untuk menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah, berpeluang melaksanakan solat sunat gerhana bulan dan solat fardhu Isyak. Peserta diberi kejutan menikmati hidangan berhidang sebelum menyambung sesi Pentingnya Ibadah Solatku.
Tepat jam 9.30 malam , peserta berhimpun kembali di Dewan Tertutup, dan didedahkan mengapa ibadah solat fardhu itu penting dan akibat meninggalkan solat. Aktiviti ini berakhir jam 11.30 malam. Peserta menutup tirai aktiviti pada malam itu dengan melaksanakan amalan sebelum tidur mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.
Hari Ketiga (5 April 2015/ Ahad)
Para peserta bersama fasilitator bersedia untuk qiamullail pada jam 4.30 pagi. Selesai menunaikan solat Subuh dan kuliah Subuh, semua peserta bersarapan, khidmat diri dan mengemas penginapan masing-masing .
Jam 9.00 pagi semua peserta berhimpun di surau dan mengikuti aktiviti Khatam Al Quran . Tahniah diucapkan. Usai majlis tersebut, tirai Khemah Ibadah 2015 dilabuhkan dengan Majlis Penutup yang dirasmikan oleh Puan Guru Besar , Puan Hjh Hasnah Noh. Para peserta bersurai dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada jam 11.00 pagi.
Tiada sebarang kecederaan dalam kalangan peserta sepanjang program berlansung.
|